Download Gratis !

di Sini

 

 
   
   
   
   
   
   
   
     

 

Matlamat Buku Ini

"Dan mereka berkata: “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak”.  Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar, hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh, kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak.  Dan tidak layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.  Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba.  Sesungguhnya Allah telah menentukan dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti.  Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri.  Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang.  Maka sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Qur’an itu dengan bahasamu, agar kamu dapat memberi khabar gembira dengan Al-Qur’an itu kepada orang-orang yang bertakwa, dan agar kamu memberi peringatan dengannya kepada kaum yang membangkang.  Dan berapa banyak telah Kami binasakan umat-umat sebelum mereka.  Adakah kamu melihat seorang pun daripada mereka atau kamu dengar suara mereka yang samar-samar"
Al-Qur’an, Maryam (19):88-89
Matlamat buku ini mudah, untuk menunjukkan bukti nyata bahawa telah berlaku suatu siri penyemakan dan pengubahsuaian yang besar ke atas Gospel Jesus (a.s.) setelah pemergiannya sehingga ke tahap ajaran asalnya kepada manusia telah lenyap.  Enam ratus tahun kemudian (1400 tahun lalu), kitab suci penganut Islam, iaitu Al-Qur’an, yang telah diturunkan oleh Tuhan kepada nabi Muhammad (s.a.w.) dan memaklumkan hal ini.  Dunia Kristian mengambil masa hampir 2000 tahun untuk mengiktiraf hakikat ini.  Hari ini, sukar untuk anda temui walau seorang sarjana Kristian yang dihormati yang tidak mengakui hal ini sebagai suatu fakta (golongan konservatif minoriti yang masih berkeras adalah suatu pengecualian).  Bukti-bukti yang ada terlalu nyata untuk diabaikan.

Apabila saya memperkatakan tentang ‘sarjana Kristian’, saya maksudkan mereka yang telah mengkhususkan kehidupan mereka untuk mengkaji secara terperinci fakta-fakta sejarah berkenaan sejarah Bible melalui kajian logikal yang tidak berat sebelah ke atas dokumen-dokumen purba gereja Kristian yang tidak terkira banyaknya, terhadap Bible sendiri, dan melalui kaedah-kaedah lain.  Ramai di antara mereka ini berada di jabatan-jabatan keagamaan di universiti-universiti Barat. Takrifan ‘sarjana Kristian’ di sini tidak merangkumi tele-mubaligh, ‘mubaligh’ dan lain-lain sepertinya.  Keberanian dan pengorbanan ramai pencari-pencari kebenaran telah menghasilkan maklumat yang kita ada.  Pada masa lalu, mereka ini dihukum bunuh tanpa sebarang tolak ansur.  Malahan pada hari ini pun, ramai di antara mereka dipecat daripada jawatan dan disenaraihitam kerana memperkatakan hal ini secara terbuka.  Jika mereka ini penipu, maka penipuan mereka harus didedahkan, dan cahaya kebenaran sudah memadai untuk melenyapkan suara mereka.  Sebaliknya, jika terdapat kebenaran tentang apa yang mereka katakan, maka dedikasi mereka yang tidak mengenal penat lelah, dan pengawasan mereka terhadap pihak yang telah mengubah firman Tuhan tidak harus diketepikan.  Atas sebab ini, kita akan mengkaji hasil penemuan mereka di dalam buku ini.

Kita mulakan dengan membandingkan kepercayaan asas Kristian dan Islam di dalam jadual di bawah.  Semua maklumat di dalam jadual ini akan dibincangkan secara terperinci di dalam buku ini, dengan izin Tuhan, dan semua dakwaaan akan disahkan dengan menggunakan kitab yang sesuai (sama ada Bible atau Qur’an).

Kepercayaan Kristian
Kepercayaan Islam
Tuhan Tuhan adalah tiga tuhan digabungkan ke dalam satu Tuhan.  Satu Tuhan ini dinamakan Triniti.  Bagaimanapun, mengatakan bahawa Tuhan adalah tiga adalah perbuatan yang paling kufur.  Ketiga-tiga bahagian Triniti adalah “setara”, “sama-sama abadi dan “punya sifat yang sama”.  Oleh sebab ini, doktrin ini digambarkan sebagai sebuah “misteri”. Tuhan adalah satu dalam erti kata sebenar yang termudah.  Dia tiada anak, tiada ibu bapa dan tiada yang setaraNya.  Di dalam Islam, Tuhan dikenali dengan nama Allah dan lebih daripada 99 nama-nama yang mulia, seperti “Pengampun”, “Penyayang”, “Maha Berkuasa” dan sebagainya.
Jesus Adalah ahli kedua Tuhan  'Triun', Anak adalah bahagian pertama daripada Tuhan ini, dan pada masa yang sama adalah Tuhan “sepenuhnya” daripada semua segi.  Adalah seorang utusan Tuhan yang amat disanjungi.  Seorang Muslim bukanlah Muslim jika beliau tidak mempercayai Jesus sebagai utusan Tuhan. 
Roh Suci Adalah ahli ketiga Tuhan Triun, tetapi juga adalah Tuhan “sepenuhnya” daripada semua segi. Beliau adalah malaikat Jibril.  Malaikat Jibril dihormati sebagai “Roh yang Amanah”.
Maryam, ibu kepada Jesus Seorang manusia, seorang wanita suci dan beriman yang telah melahirkan Jesus, yang merupakan ahli kedua Triniti, iaitu Anak Tuhan, dan pada masa yang sama adalah “sepenuhnya” Tuhan Yang Maha Berkuasa dari semua segi.  Seorang manusia, seorang wanita suci dan beriman yang telah dipilih, dibersihkan, dan diangkat martabatnya melebihi semua wanita, untuk melahirkan utusanNya, iaitu Jesus, tanpa seorang bapa. 
Firman Sebahagian daripada Tuhan yang “bersama” Tuhan, tetapi juga “sepenuhnya” Tuhan dan telah menjadi Jesus, Anak Tuhan. Perintah Tuhan, “Jadilah!”, dan hasilnya Jesus dikandung di dalam rahim Maryam tanpa memerlukan seorang manusia sebagai bapa. 
Nabi-nabi terdahulu Semuanya diterima, dihormati, dan diyakini. Semuanya diterima, dihormati, dan diyakini.
Bible Diterima sebagai 100% firman Tuhan yang tiada cacat-cela. Umat Islam percaya akan kitab-kitab nabi-nabi terdahulu termasuk Taurat yang diturunkan kepada Musa, Zabur yang diturunkan kepada Daud, Injil (Gospel) yang diturunkan kepada Jesus, dan Qur’an yang diturunkan kepada Muhammad.  Bagaimanapun, umat Islam dimaklumkan bahawa kitab-kitab terdahulu telah diubahsuai oleh manusia dan Bible hanya boleh diterima selagi kandungannya disahkan oleh Qur’an.   mesti dihormati, tetapi sebarang pernyataan yang terang-terangan bercanggah dengan Qur’an hendaklah ditolak kerana telah diubah oleh manusia.
Muhammad Berbagai pendapat. Ada yang percaya beliau adalah penipu, ada yang percaya beliau adalah orang gila, ada yang percaya beliau adalah Penyelamat palsu, dan ada juga yang mengatakan beliau telah diselewengkan oleh Syaitan. Adalah utusan Tuhan yang terakhir kepada seluruh manusia.  Dia dikenali sebagai Al-Amin (Jujur dan Amanah) sebelum beliau menerima wahyu pertama.  Beliau diutuskan oleh Tuhan sebagai rahmat kepada seluruh alam.   Beliau adalah seorang manusia, tetapi telah melakukan beberapa mukjizat sewaktu hayatnya dengan izin Tuhan. 
Qur’an Berbagai kepercayaan, daripada yang mengatakan Qur’an adalah Bible yang ditiru oleh Muhammad, kepada yang mengatakan ia adalah hasil kerja orang-orang Kristian dan Yahudi yang bersubahat dengan Muhamamad. Adalah kitab terakhir yang Tuhan turunkan kepada manusia.  Ia berbeza daripada kitab-kitab lain kerana telah dijamin oleh Tuhan akan terpelihara daripada penyelewengan manusia.  Mutu kesusasteraannya tiada tolok bandingnya.  Sehingga hari ini, tiada manusia yang dapat memenuhi cabarannya untuk “menulis suatu karya yang serupa dengannya”.   selamat daripada penyelewengan manusia sehinggalah Hari Pengadilan sebagai panduan untuk semua manusia.
Ajaran Jesus Bahawa beliau telah diutuskan oleh Tuhan (yang pada masa yang sama adalah “sepenuhnya” Jesus) untuk mati di atas batang salib dan menyelamatkan manusia daripada dosa Adam.  Tanpa pengorbanan ini, semua manusia akan musnah akibat dosa Adam.  Selepas penyaliban, manusia hanya perlu beriman tanpa sebarang amal. Bahawa beliau telah diutuskan oleh Tuhan sebagai nabi kepada kaum Yahudi untuk mengembalikan mereka kepada agama sebenar Musa yang suci, dan untuk membebaskan mereka daripada beberapa peraturan yang telah dikenakan kepada mereka sejak lama dahulu.  Beliau mengajar mereka supaya beriman dan beramal.  Keduanya tidak boleh berdiri sendiri. 
Kebolehan Jesus menghidupkan yang mati, memulihkan yang buta dan menyembuhkan pesakit kusta. Semuanya diterima.  Beliau boleh melakukan semua ini kerana beliau adalah Anak Tuhan dan pada masa yang sama adalah “sepenuhnya” Tuhan dan adalah “penjelmaan” Tuhan. Semuanya diterima.  Semua itu berlaku dengan izin Tuhan sebagaimana Musa, Nuh dan nabi-nabi lain melakukan perkara-perkara ajaib dengan izin Tuhan. 
Penyaliban Jesus diserahkan kepada kaum Yahudi.  Beliau diludah, dilukakan, dihina, ditendang, dibogelkan, dan akhirnya digantung pada salib dan dibunuh dengan cara yang menyakitkan dan perlahan. Jesus tidak diserahkan kepada kaum Yahudi untuk disiksa dan dibunuh, tetapi “kelihatan kepada mereka seolah-olah itu yang berlaku”.  Tuhan telah menyelamatkan Jesus dengan mengangkatnya kepadaNya. 
Kemunculan kedua Jesus Diterima. Pada mulanya, peristiwa ini dijangkakan berlaku semasa hayat pengikut-pengikutnya yang pertama. Banyak ramalan telah dibuat kemudian, dan beliau dijangkakan muncul bila-bila masa.  Kini beliau dijangkakan akan muncul pada permulaan abad akan datang (tahun 2000). Diterima. Jesus tidak mati, sebaliknya telah diangkat ke langit oleh Tuhan.  Beliau akan kembali ke bumi sebelum Hari Pengadilan untuk membunuh “Penyelamat Palsu” dan untuk mewujudkan kedamaian dan keadilan di muka bumi.  Beliau akan membunuh khinzir, mematahkan salib, dan menyeru manusia kepada Islam.
Dosa asal Semua manusia mewarisi dosa Adam.  Hanya kematian anak Tuhan yang tiada dosa dapat menghapuskan dosa tersebut. Tidak seorang pun dilahirkan suci, walaupun beliau hanya hidup selama sehari. Hanya pembaptisan dan keimanan terhadap kematian Jesus dapat menyelamatkan seseorang daripada dosa. Tiada konsep dosa asal.  Manusia diciptakan Tuhan untuk menghuni syurga melainkan mereka melanggar suruhanNya dan enggan menerima belas kasihannya.  Tuhan boleh mengampunkan dosa semua manusia dengan mudah biar pun dosa-dosa seluruh manusia memenuhi ruang langit.  Perkara ini teramat mudah untukNya memandangkan Dia juga telah mencipta segala apa yang dapat kita lihat, dengar dan bayangkan.  Dia amat suka melimpahkan belas kasihanNya dan pengampunanNya kepada makhlukNya dan menganugerahkan ganjaran untuk perbuatan baik yang sekecil-kecilnya dengan ganjaran yang besar. Untuk menerima ganjaran Tuhan, seseorang mestilah beriman dan beramal. 
Penebusan dosa Dosa Adam amat besar sehingga Tuhan tidak dapat memaafkannya begitu sahaja, sebaliknya dosa tersebut hanya dapat dilenyapkan dengan darah tuhan yang tiada dosa bernama Jesus yang juga Tuhan ‘sepenuhnya”. Dosa Adam telah “ditebus” apabila beliau berkata, “Tuhanku, aku telah berdosa dan jika Kau tidak mengampunkanku dan melimpahkan belas kasihanMu ke atas ku, nescaya aku akan termasuk dalam golongan yang rugi”.  Maka Tuhan memaafkannya.  Begitu juga Tuhan membuka pintu keampunan kepada semua manusia.  Jika seseorang benar-benar bertaubat dan memohon keampunanNya, dan meningggalkan perbuatan jahat mereka sebelum datangnya Kiamat, maka Dia akan mengampunkan mereka. Tiada yang lebih menggembirakanNya selain daripada mengampunkan dosa-dosa mereka yang memohon keampunanNya dengan penuh ikhlas.
Jalan selamat Anda akan diselamatkan jika anda beriman akan penebusan dosa Jesus ke atas dosa Adam yang telah anda warisi.  Anda hanya perlu beriman.  Amal tidak diperlukan. Jika anda beriman kepada Tuhan, percaya akan utusan-utusanNya, dan mematuhi perintahNya, maka Dia akan melipatgandakan setiap perbuatan baik yang anda lakukan dan menghapuskan perbuatan-perbuatan buruk anda, sehinggakan pada Hari Pembalasan, belas kasihanNya menyebabkan amalan baik anda jauh melebihi amalan buruk anda, dan Dia mengurniakan anda Syurga yang kenikmatannya tidak dapat kita bayangkan, dan kekal di dalamnya selama-lamanya.  Di alam Akhirat nanti, hanya ganjaran yang dikurniakan tanpa ada amal.

Dengan hanya menggunakan Bible dan rujukan-rujukan sarjana-sarjana konservatif Bible yang unggul, buku ini akan menunjukkan (dengan izin Tuhan), bagaimana kebanyakan daripada kepercayaan-kepercayaan asas Kristian hari ini sesungguhnya telah ditambah oleh manusia kepada ajaran asal Jesus lama selepas permergian beliau.Jesus (a.s.) sendiri tidak ada kaitan sama sekali dengan kepercayaan-kepercayaan ini.  Kepercayaan-kepercayaan tersebut adalah:

  1. Triniti.
  2. Dakwaan bahawa Jesus (a.s.) adalah Anak Tuhan dalam erti kata yang ortodoks.
  3. “Dosa asal” Adam diwarisi oleh manusia.
  4. Penebusan dosa, atau kematian Jesus (a.s.) di batang salib adalah untuk menghapuskan dosa Adam.
  5. Penjelmaan Tuhan dalam bentuk manusia, iaitu Jesus (a.s.).

Seterusnya akan ditunjukkan bahawa ajaran asal Jesus (a.s.) adalah:

  1. Tuhan adalah satu.  Dia tidak boleh dibahagi.  Tiada yang sepertiNya.
  2. Tuhan tiada anak atau ibu bapa.  Tiada Tuhan selain daripada Tuhan.
  3. Jesus (a.s.) adalah manusia.  Beliau bukan Tuhan, tetapi hanyalah utusan Tuhan.
  4. Tuhan tidak mempertanggungjawapkan seseorang atas dosa orang lain, Dia juga tidak memaafkan dosa seseorang dengan mengorbankan orang lain.
  5. Tuhan tidak memilih bangsa tertentu, warna kulit, negara, keturunan atau apa sahaja melebihi yang lain.  Amalan dan pengabdian seseoranglah yang membezakan mereka di sisi Tuhan.
  6. Tuhan Yang Maha Adil tidak membuat seseorang manusia menanggung dosa manusia lain.
  7. Tuhan adalah Tuhan Yang Pengampun, mengurniakan keampunan tanpa sebarang syarat atau ganti rugi.
  8. Iman dan amal perlu untuk memasuki syurga.  Kedua-duanya saling bersandar dan tidak boleh berdiri sendiri.

Umat Islam telah dimaklumkan bahawa sepanjang zaman semenjak Adam (a.s.), Tuhan telah mengutuskan nabi kepada semua bangsa dan negara di seluruh muka bumi, bermula dengan Adam (a.s.), nabi yang pertama dan bapa manusia.  Setiap kali nabi tersebut wafat, kaumnya akan mula kembali kepada perbuatan-perbuatan munkar  sehingga setelah beberapa generasi berlalu, mereka telah menyelewengkan ajaran asal yang diutuskanNya kepada mereka.  Setelah ajaran-ajaranNya hampir musnah, Dia akan memilih utusan baru untuk menerima ajaran asal dan menyampaikannya kepada kaumnya.  Ada di antara mereka yang menerima ajaran tersebut,  ada yang menolak.  Walau apa pun, ajaran tersebut sentiasa ada untuk mereka yang mahu menerimanya.  Dengan cara ini, Tuhan memastikan bahawa seluruh manusia sentiasa dapat menemui agamaNya yang sebenar, tidak kira di mana atau bila mereka hidup.  Terpulanglah kepada mereka untuk mencari ilmu ini.

Umat Islam juga diajar bahawa setiap utusan diutuskan kepada kaumnya sendiri.  UtusanNya diperhalusi supaya sesuai dengan kaum tersebut.  Ajaran asas yang dibawa oleh utusan-utusan ini adalah sama: “Tuhan adalah satu.  Sembahlah Dia sahaja!”.  Bagaimanapun, perincian ibadat setiap kaum disesuaikan dengan cara hidup mereka, tahap pengetahuan mereka dan sebagainya.  Begitulah juga dengan Jesus (a.s.).  Jesus dihantar khusus kepada kaum Yahudi, dan hanya kaum Yahudi.  Akan ditunjukkan bahawa salah satu sebab ajaran beliau terseleweng adalah kerana mereka yang terkemudian daripadanya telah cuba menyebarkan ajarannya kepada kaum yang tidak sepatutnya, iaitu kaum bukan Yahudi (Gentile).  Kaum bukan Yahudi ini telah menokok-tambah banyak aspek kepercayaan mereka sendiri kepada ajaran Jesus sehingga akhirnya menyebabkan ajaran asal Jesus lenyap.

Buku ini akan menunjukkan bahawa penyimpangan terhadap agama Jesus (a.s.) daripada ajaran asalnya berlaku secara beransur-ansur dalam tahap-tahap berikut:

  1. Jesus (a.s.) memaklumkan kaum Yahudi bahawa agama mereka telah menyeleweng daripada apa yang telah diajar kepada mereka oleh Musa (a.s.) dan nabi-nabi terdahulu daripadanya.
  2. Jesus (a.s.) mengajak kaum Yahudi kembali kepada ajaran asal yang telah Tuhan turunkan melalui utusan-utusan sebelumnya.Jesus sendiri mengamalkan setiap aspek agama Musa (a.s.) dengan patuh, tanpa sebarang kompromi.Beliau berpuasa sebagaimana Musa (a.s.) berpuasa, bersembahyang sebagaimana Musa (a.s.) bersembahyang, tidak memakan daging babi sama sekali, beliau percayakan amalan bersunat dan beliau sendiri telah disunatkan, beliau patuh dengan amalan Sabbat dan tidak pernah melanggar amalan ini.  Beliau mematuhi semua amalan ini sehinggalah peristiwa penyaliban.  Menurut Bible, selepas penyaliban beliau kembali dalam visi Paul untuk memansuhkan segala hukum yang beliau patuhi sepanjang hayat beliau.Bible sendiri menjadi saksi bahawa sepanjang hayatnya, Jesus memerintahkan pengikut-pengikutnya mengamalkan agama Musa (a.s.) dan memberi amaran tentang kerasnya balasan Tuhan jika sebarang aspek agama ini diabaikan sehinggalah ke akhir zaman (rujuk di bawah).
  3. Jesus meninggalkan bumi ini dan hawari-hawarinya terus mengamalkan ajarannya dengan patuh.  Mereka juga mengamalkan agama Musa (a.s.) sebagaimana yang dilakukan dan diperintahkan oleh Jesus (a.s.).  Selama tiga dekad pertama selepas pemergian Jesus (a.s.) pengikut-pengikut Jesus adalah kaum Yahudi yang mengakui bahawa Jesus (a.s.) adalah Penyelamat yang dijanjikan.   Selama tiga dekad pertama permergian Jesus (a.s.), para pengikutnya terus beribadat di saumaah dan Kuil Yahudi dan mengamalkan semua aspek agama Musa (a.s.) tanpa sebarang pengecualian.
  4. Tidak lama selepas pemergian Jesus (a.s.), seorang Yahudi bernama Saul dari Tarsus telah menindas pengikut-pengikut Jesus dengan berbagai cara.  Beliau sendiri mengaku bahawa beliau cuba sedaya upaya untuk memusnahkan Gereja dan menghapuskan agama Jesus dari muka bumi dan fikiran manusia.  Beliau tidak pernah bertemu dengan Jesus.
  5. Tiba-tiba Saul mendakwa beliau menerima visi daripada Jesus (a.s.).  Seorang hawari Jesus bernama Barnabas mengambil Saul di bawah jagaannya, dan melalui Barnabas, beliau diterima oleh hawari-hawari lain.  Barnabas dan Saul mengembara ke serata tempat sehinggalah reputasi Saul sebagai penindas dan pembunuh kaum Kristian digantikan dengan reputasi seorang Kristian yang telah insaf.
  6. Seterusnya, Saul berpisah dengan hawari Jesus (a.s.) dan mengambil keputusan untuk berdakwah kepada kaum bukan Yahudi.  Beliau mendakwa bahawa hawari-hawari Jesus (a.s.) pemalas, terseleweng dan penipu.  Beliau mendakwa beliau perlu sentiasa membimbing hawari-hawari keluar daripada kejahilan mereka kepada kebenaran Tuhan yang beliau terima melalui ‘visi-visi’nya.  Secara terang-terangan beliau mengatakan beliau tidak belajar apa-apa daripada para hawari dan setiap satu yang beliau ajarkan adalah daripada ilham wahyu.  Kaum bukan Yahudi yang tinggal berdekatan dengan kaum Yahudi amat-amat membenci kaum Yahudi sehingga beliau mendapati sukar untuk memujuk mereka supaya menerima Judaisma yang diamalkan oleh Jesus (a.s.) sepanjang hayat beliau dan yang diajarkan kepada hawarinya.
  7. Di banyak tempat di dalam Bible, Saul mengaku bahawa beliau sanggup melakukan apa sahaja tanpa sebarang pengecualian untuk menukarkan agama kaum bukan Yahudi.  Beliau mendakwa segala-galanya telah dihalalkan untuknya.  Atas sebab ini, Saul mula bertolak-ansur dengan kaum bukan Yahudi yang merupakan penyembah berhala dan memudahkan agama Jesus untuk menjadikannya lebih menarik buat mereka, supaya mereka bertukar agama.
  8. Saul terus berkompromi dengan kaum bukan Yahudi dan mengubahsuai agama Jesus (a.s.) supaya mirip kepada kepercayaan-kepercayaan mereka untuk menarik mereka menukar agama.  Akhirnya, beliau hanya meminta mereka ‘beriman’ tanpa perlu beramal.  Kaum bukan Yahudi yang menyembah berhala ini menyembah banyak “anak-anak” Jupiter atau Zeus yang berkuasa, atau tuhan-tuhan lain sepertinya  Di antara tuhan-tuhan ini adalah Attis, Adonis, Dionysus dan sebagainya.  Mereka percaya bahawa tuhan-tuhan telah mati untuk dosa-dosa mereka dan seterusnya dihidupkan kembali.  Saul menjelaskan kepada mereka bahawa Jesus (a.s.) bukannya nabi/manusia biasa, tetapi adalah “Anak Tuhan”, dan “Anak Tuhan” ini mati kerana menebus dosa-dosa manusia.  Kaum bukan Yahudi ini dengan segera dapat melihat persamaan ini dengan kepercayaan mereka.  Apa yang mereka perlu lakukan adalah menukar beberapa label.  Dengan cara ini, Saul dapat meyakinkan bangsa Greek (dan kaum-kaum bukan Yahudi lain) untuk menerima “agama Jesus”.  Ini adalah kerana, tidak seperti kaum Yahudi, agama orang Greek telah lama menerima konsep “Triniti”, “tuhan-tuhan bapa”, “anak-anak tuhan”, kematian tuhan-tuhan, penghidupan semula tuhan-tuhan dan penjelmaan tuhan, "tuhan penyelamat", memakan daging tuhan, meminum darah tuhan dan sebagainya.  Semua ini adalah konsep-konsep lama bagi mereka. Saul menjadi pemimpin agung mereka dan dinamakan “Saint Paul”.
  9. “Saint Paul” menulis dengan giat dan bilangan pengikutnya semakin meningkat.
  10. Apabila bilangan pengikutnya melebihi bilangan pengikut agama para hawari Jesus (a.s.), mereka mulai membunuh pengikut-pengikut hawari, menindas mereka dan membakar Gospel mereka.
  11. Pengikut-pengikut “Saint Paul” telah dicabar untuk membuktikan dakwaan mereka megenai “anak Tuhan”, “dosa asal”, dan sebagainya menggunakan kitab dan membuktikan bahawa semua itu adalah ajaran Jesus (a.s.) dan Tuhan.  Mereka tidak dapat berbuat demikian.  Terlalu banyak ayat-ayat yang mengatakan terdapat hanya SATU Tuhan dan Dia tidak mempertanggungjawapkan manusia atas dosa seorang manusia lain.  Contoh ayat-ayat tersebut wujud hingga ke hari ini (contohnya, Yesaya 43:10-11, Ezekiel 18:19-20, Ulangan 24:16 dll.).  Oleh itu, mereka perlu mengiktiraf bahawa Tuhan adalah Triniti seperti Triniti masyarakat Greek dan Rom purba supaya mereka boleh ada tiga Tuhan, tetapi mendakwa mereka hanya menyembah satu Tuhan.  “Triniti” dalam purba falsafah Greek ditakrifkan semula dengan memberikannya label-label baru dan dikaitkan dengan Tuhan Yang Maha Kuasa untuk menakrifkan suatu doktrin baru, iaitu “tiga tuhan di dalam satu”.  Sekali lagi, “Triniti” tidak dapat dibuktikan menggunakan Bible, maka pihak Gereja mulai menerima wahyu daripada Tuhan yang memerintahkan mereka untuk memperjelaskan Bible supaya “Triniti” dapat difahami dengan jelas (rujuk contoh di bahagian 1.2.2.5).  “Penjelasan-penjelasan” ini dijumpai oleh sarjana-sarjana Kristian beberapa abad kemudian.  Mereka kemudiannya mengemukakan bukti yang tidak dapat disangkal mengenai bagaimana, bila, dan siapa yang memasukkan “penjelasan-penjelasan” ini ke dalam Bible.  Dalam abad ke dua puluh, tiga puluh dua sarjana biblikal konservatif yang terulung, dengan disokong oleh lima puluh lima mazhab telah membuang 1 Yohanes 5:7 kerana ini adalah penambahan yang diada-adakan oleh gereja.  Banyak lagi tambahan-tambahan lain yang mereka temui.
  12. Selama empat kurun masihi yang pertama, ajaran Kristian berpecah kepada banyak mazhab-mazhab yang berbeza kepercayaan.   Bilangan gospel yang muncul tidak terbilang, setiapnya dengan darjah kesahihan yang berbeza. Mazhab-mazhab ini bertelagah di antara satu sama lain, setiap mazhab mendakwa hanya merekalah yang mengamalkan agama ‘sebenar’ Jesus dan memiliki Gospel yang ‘sebenar’.  Semua mazhab-mazhab ini cuba mendapatkan sokongan Rom untuk menguatkan diri mereka, dan seterusya melenyapkan mazhab-mazhab lain.
  13. Semasa abad ke 4 Masihi, pengikut-pengikut “Triniti” berjaya mendapatkan bantuan Empayar Rom yang menyembah berhala.  Mereka menggunakan kekuasaan empayar ini untuk “membersihkan” bumi daripada pengikut-pengikut para hawari yang “sesat” dan “kufur”.  Mereka kemudiannya melancarkan kempen untuk menukarkan kepercayaan pengikut-pengikut hawari.
  14. Kepercayaan “Triniti” dihebahkan sebagai satu-satunya agama Jesus (a.s.) yang benar.  Tulisan-tulisan Paul dikumpulkan dan hari ini merupakan majoriti buku Perjanjian Baru.   Buku-buku hawari telah dibakar dan dilabel sebagai sesuatu yang diragui kebenarannya.  Senarai buku-buku Bibile yang “benar-benar telah diwahyukan” yang kita dapati hari ini tidak diterima secara rasmi sehinggalah tahun 367 Masihi.  Bible yang terdapat pada 300 tahun pertama Kristian adalah amat berbeza daripada apa yang ada hari ini.  Dalam jangka masa tiga abad, pengikut-pengikut Triniti telah mengiktiraf bahawa semua buku-buku yang dianggap diwahyukan dan suci semasa abad-abad awal Masihi adalah semuanya palsu dan diragui kesahihannya.  Hanya buku-buku yang diragui kesahihannya semasa abad-abad pertama Masihi kini dianggap "hukum yang sah", tulin dan wahyu.  Sesiapa yang didapati menyembunyikan buku-buku asal hawari dibakar mati bersama-sama buku tersebut.  Pengikut-pengikut Paul mendapatkan salinan Gospel hawari, menyalinnya, tetapi melakukan perubahan drastik ke atas doktrin yang terdapat di dalamnya.  Mereka mendakwa hawari telah menulis doktrin tersebut.  Buku-buku tersebut disandarkan kepada Matius, Markus, Lukas dan Yohanes.  Penambahan-penambahan kepada buku-buku ini berterusan selama beberapa abad.  Hanya berabad-abad kemudian baharulah sarjana-sarjana Kristian menjumpai bukti bahawa pengarang-pengarang yang didakwa menulis buku-buku ini bukanlah pengarangnya.
  15. Oleh kerana Gereja berpendapat bahawa masyarakat awam Kristian terlalu ketinggalan dan "terkebelakang" untuk memahami kitab-kitab suci, maka Gereja perlu menyorokkan Bible untuk kegunaan persendirian mereka.  Sesiapa yang ingin mempelajari Bible perlu pergi ke Gereja dan bertanya kepada mereka.  Melalui gabungan wahyu dan ayat-ayat Bible, Gereja akan mengajarkan mereka apa yang mereka perlu tahu.
  16. Enam ratus tahun selepas Kristus, Muhamad (s.a.w.) dilahirkan.  Beliau mengikuti agama Ibrahim (a.s.) yang diturunkan kepadanya dan kepada orang-orang Arab daripada bapa kepada bangsa Arab, iaitu Ismail, anak sulung Ibrahim (a.s.).  Setelah mencecah umur 40 tahun, Tuhan mengutuskan malaikat Jibril kepada Muhammad untuk mengajarkannya utusanNya yang terakhir, iaitu agama Islam.  Tuhan memberitahu beliau bahawa “ahli kitab” telah merubah agama Jesus (a.s.) dan telah menukarkan agama tersebut yang mengabdikan diri kepada satu Tuhan kepada agama di mana beberapa Tuhan disembah.  Beliau juga diberitahu bahawa beliau adalah utusan terakhir, dan utusannya adalah untuk seluruh manusia, termasuk orang-orang Yahudi dan Kristian.
  17. Orang-orang Yahudi dan Kristian menuduh bahawa Muhammad (s.a.w.) adalah seorang penipu, gila, dirasuk syaitan dan adalah seorang nabi palsu. Mereka mendakwa bahawa beliau hanya menyalin Bible untuk menulis Qur’an.  Sebagaimana kebanyakan orang Yahudi enggan menerima Jesus (a.s.) sebagai utusan Tuhan, begitu juga kebanyakan orang Yahudi dan Kristian enggan mempercayai Muhammad (s.a.w.).
  18. Muhammad (s.a.w.) wafat.  Mereka yang percaya akan Triniti terus membakar mana-mana penganut Kristian yang menentang konsep Triniti serta mereka yang memperkatakan tentang percanggahan di dalam Bible di salib.  Mereka melancarkan kempen “siasatan” untuk membersihkan saki-baki mereka yang percaya pada satu ("monotestik") Tuhan.  Mereka menyembelih orang-orang Yahudi pada sebarang kesempatan.  Perbuatan menghukum bunuh golongan ini begitu berleluasa sehingakan satu negara dihukum bunuh.  Pada tahun 1568, suatu dekri sebuah gereja Triniti telah menyebabkan 3 juta lelaki, wanita dan kanak-kanak dihukum bunuh kerena mereka  menyeleweng.  Akhirnya, lebih dua belas juta orang dibunuh dengan perintah “Pasitan”.
  19. Gereja kehilangan kusaa kepada ahli-ahli sains dan tertolak ke suatu sudut gelap.  Dengan tiadanya ancaman hukuman mati menghantui mereka, ramai sarjana-sarjana Kristian mula menerbitkan banyak buku-buku yang menunjukkan dengan terperinci contoh-contoh ayat-ayat yang bercanggah dan bukti pengubahsuaian ke atas teks Bible.  Manuskrip-manuskrip purba masyarakat Kristian mulai dikaji dengan teliti lalu sedikit demi sedikit, gambaran apa yang telah berlaku mulai muncul.  Berbagai-bagai alasan diberikan oleh Gereja dan mereka yang bergantung kepada kepercayaan yang telah mantap ini.  Kini mereka menyatakan bahawa setiap ayat di dalam Bible mempunyai makna yang 'abstrak'.  Mereka mengarahkan orang ramai supaya hanya beriman buta.  Mereka meyakinkan orang ramai bahawa mereka tidak akan dapat memahami Bible tanpa tafsiran dan ilham suci Gereja.  Mereka memberitahu orang ramai bahawa Jesus (a.s.) tidak maksudkan apa yang beliau katakan, bahawa apa-apa arahan beliau supaya mengikuti agama Musa (a.s.) tidak boleh diambil begitu sahaja, sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh Jesus memounyai maksud “tersembunyi” yang bertentangan daripada apa yang diucapkan.  Hanya mereka yang boleh memberitahu orang ramai maksud sebenar kata-kata Jesus (a.s.).
  20. Salinan-salinan Gospel asal hawari-hawari Jesus (a.s.) mulai muncul.  Salinan-salinan ini dijumpai disembunyikan di merata-rata tempat, termasuk ibu negeri agama Kristian, iaitu Vatikan.  Gospel-gospel ini, (seperti Gospel Barnabas) mengesahkan ajaran Qur’an.  Gospel-gospel ini berkecenderungan untuk hilang secara misteri.  Gospel-gospel ini dilabel sebagai palsu dan penipuan yang ditulis oleh orang Islam.  Tiba-tiba, pada tahun 1947, Skrol Laut Mati dijumpai.  Selama hampir 45 tahun skrol ini disorokkan dan disembunyikan daripada orang ramai.  Apabila skrol ini akhirnya terpaksa didedahkan kepada umum, suatu perjumpaan yang menakjubkan berlaku.  Skrol-skrol ini mengesahkan Qur’an!  Ia menceritakan kedatangan bukan seorang penyelamat (Messiah), tetapi DUA orang Penyelamat.  Ia mendakwa bahawa kedua-dua Penyelamt ini akan diumumkan oleh seorang nabi eskatologikal.  Dua ramalan ini amat jelas dan tersebar luas di sepanjang skrol-skrol tersebut.  Skrol-skrol ini menyatakan bahawa Penyelamat yang pertama akan dikhianati oleh salah seorang pengikutnya, tetapi tidak dibiarkan mati oleh Tuhan, sebaliknya orang yang telah mengkhianatinya yang menggantikan tempat beliau.  Skrol-skrol tersebut menyatakan secara khusus bahawa tiada paku yang akan menyentuh Penyelamat tersebut.  Terdapat amat banyak persamaan di antara Skrol Laut Mati dan ajaran Qur’an, yang bagaimanapun, telah dijelaskan menggunakan makna-makna abstrak.  Kita diberitahu bahawa hakikat orang Yahudi yang hidup 100 tahun sebelum Jesus (penulis-penulis Skrol Laut Mati) sedang menanti DUA Penyelamat tidak bermakna mereka sedang menanti dua Penyelamat yang berlainan, sebaliknya mereka menantikan seorang Penyelamat dengan dua personaliti yang berbeza.  Oleh yang demikian, kita diberitahu bahawa Jesus (a.s.) adalah KEDUA-DUA Penyelamat tersebut.  Sebaliknya, orang-orang Yahudi menjelaskan bahawa kedua-dua ramalan tersebut merujuk kepada peristiwa masa lalu atau masa akan datang dan tidak satu pun merujuk kepada Jesus (a.s.) atau Muhammad (s.a.w.).

Umat Islam dimaklumkan bahawa apabila Tuhan mencipta manusia, Dia memberikan mereka “Pilihan”.  Mereka diberitahu bahawa mereka boleh sama ada hidup dan kemudiannya mati dan lenyap, seperti binatang.  Atau, mereka boleh memilih untuk dipertanggungjawapkan atas segala perbuatan mereka.  Jika mereka memilih untuk dipertanggungjawapkan, ganjaran yang diberikan adalah besar.  Hukuman yang akan diterima juga adalah berat.

Apabila manusia memilih untuk dipertanggungjawapkan, maka bersama tanggungjawab ada kebebasan untuk memilih.      Tuhan memberikan manusia kebebasan untuk memilih sama ada menyembahNya atau melanggar perintahNya.  Oleh kerana kasih sayang Tuhan tidak terbatas, Dia membantu manusia dengan berbagai cara untuk membimbing mereka ke jalanNya yang benar dan ganjaran yang hakiki.  Pertama, Dia mengutuskan para Nabi.  Dengan cara ini, tidak kira apa cara pun manusia cuba menyelewengkan agamaNya, agamaNya yang benar sentiasa ada untuk mereka yang mencari kebenaran.

Kedua, manusia dianugerahkan akal.  Akal ini dianugerahkan supaya manusia boleh membezakan antara benar dan palsu menggunakan kebijaksanaan mereka.  Jika seseorang melihat seorang lain menyembah api, dan beliau tahu bahawa api tidak boleh mendengar dan memakbulkan doa, maka tidak kira apa cara pun penyembah api tadi mengagungkan api tersebut, dan menyatakan betapa hebatnya kuasa api, dan menerangkan bagaimana api tersebut memakbulkan doa-doa, dan menerangkan betapa api itu menyayanginya, kebijaksanaan beliau enggan menerima rekaan ini.

Akhir sekali, Tuhan menganugerahkan manusia gerak hati, yang dinamakan “Fitrah” dalam Bahasa Arab.  “Fitrah” adalah suara hati dalam setiap diri kita yang memberitahu kita bahawa “ini tidak kena”.  Apabila kita mengangkat senjata buat pertama kali untuk membunuh seseorang, kita perlu bergelut dengan “Fitrah” kita yang membisikkan kepada kita bahawa membunuh adalah salah.  Dengan cara yang sama, manusia dilahirkan dengan fitrah “Tuhan adalah satu”.  Kita perlu benar-benar menentang diri kita dan diyakinkan oleh orang-orang di sekeliling kita untuk mempercayai yang sebaliknya.  Inilah caranya manusia menyembah api, batu, berhala, berbilang tuhan, dan benda-benda lain.  Ia telah dipaksakan ke atas mereka semasa mereka membesar walaupun berlawanan dengan “Fitrah”.

Buku ini kembali kepada hujah-hujah para hawari yang asal.  Kita mulakan dengan “Triniti” dan kita jejak kembali sejarah.  Kita akan lihat bahawa tiada sebarang asas mengenai “Triniti” di dalam Bible.  Setelah “Triniti” dibuktikan salah, kita akan melihat kepercayaan-kepercayaan yang diada-adakan ini dihuraikan satu per satu sehinggalah kita kembali kepada ajaran asal Jesus (a.s.).  Semua ini akan dilakukan dalam bab pertama.  Setelah itu, kita akan lihat bagaimana Muhammad (s.a.w.) telah diramalkan kedatangannya oleh Jesus (a.s.) dan nabi-nabi sebelumnya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Qur’an 1400 tahun yang lalu.  Saya doakan mudah-mudahan anda akan dapati maklumat ini menjelaskan apa yang kabur.

Ikuti carta alir untuk mengikuti perkembangan daripada zaman Kristian ke zaman Islam

Jadual Takrifan dan Singkatan
ahli kitab Istilah ini digunakan di dalam Qur’an untuk merujuk kepada kaum Yahudi dan Kristian.
Allah Tuhan semua makhluk.  Dia dikenali sebagai “Tuhan” atau “Bapa” oleh penganut Kristian dan “El” atau “Yahweh” kepada kaum Yahudi.
a.s. Bermaksud “sejahtera ke atasnya”.  Biasanya digunakan apabila merujuk kepada nabi-nabi Tuhan, seperti Nuh, Musa, Ibrahim, Jesus, Muhammad dan lain-lain.
Binti Perkataan Arab yang bermakna “anak perempuan kepada”.
Ibn Perkataan Arab yang bermakna “anak lelaki kepada”.
Islam Utusan Tuhan yang terakhir kepada manusia.  Ia diturunkan kepada nabi Muhammad (s.a.w.), direkodkan di dalam Qur’an, dan diterangkan secara terperinci di dalam Sunnah.  Islam adalah perkataan Arab yang bermaksud “menyerah diri kepada Tuhan”.
Muhammad Utusan Tuhan yang terakhir kepada seluruh manusia.  Beliau adalah penutup para nabi yang merangkumi Ibrahim, Nuh, Musa, Jesus, dan ramai lagi
PB Perjanjian Baru. Bahagian Bible yang khusus kepada kepercayaan Kristian.
PL Perjanjian Baru.  Bahagian Bible yang diturunkan oleh kaum Yahudi.
Qur’an Kitab suci umat Islam.  Kandungannya adalah 100% firman Tuhan dan tidak mengandungi kata-kata nabi Muhammad (s.a.w.), sahabat-sahabatnya, atau mana-mana manusia lain.
s.a.w Sama seperti a.s. Adalah singkatan perkataan Arab “Salla Allahu alaihi Wa Sallam”, yang bermaksukd “sejahtera ke atasnya.
Sunnah Adalah koleksi kata-kata dan amalan-amalan nabi Muhammad (s.a.w.). Kebanyakan kata-kata dan amalan beliau direkodkan di dalam Sunnah.

Huda
21 Mac, 2001


| Laman Utama | Wanita | Apa Kata Jesus | Injil & Kristian | Hindu | Sumber Asal | Pelbagai |

 

1