Download Gratis !

di Sini

 

 
   
   
   
   
   
   
   
     

 

Bab 11 : Apakah Islam?

"Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
Al-Qur'an, Al-Mukminun (23):115
Bab ini membincangkan dasar-dasar ajaran Islam secara ringkas. Berikut adalah perbincangan kepercayaan umat Islam.

Apakah makna 'Islam'?

Perkataan "Islam" bermakna "Penyerahan kepada Allah". Agama Islam tidak dinamakan sempena nama seseorang seperti mana agama "Kristian" dinamakan sempena nama Jesus Kristus, atau "Buddha" dinamakan sempena nama Gautama Buddha, atau seperti mana "Marxisma" dinamakan sempena nama Karl Marx, atau seperti mana "Konfucianisma" dinamakan sempena nama Konfucius. Begitu juga Islam tidak dinamakan sempena nama suku seperti mana "Judaisma" dinamakan sempena nama Judah, dan "Hindu" dinamakan sempena nama Hindu. Perkataan Arab untuk "Islam" membawa maksud penyerahan kemahuan seseorang kepada kemahuan satu-satunya tuhan yang layak disembah, iaitu "Allah" (dalam agama Kristian dikenali sebagai Tuhan "Bapa"). Sesiapa yang benar-benar menyerah kepada kemahuan Allah seperti yang dikehendaki oleh Islam digelar "Muslim", yang bermakna orang yang menyerah kepada kehendak Allah. Malangnya, ramai orang Barat yang menurut trend menggelar Islam "Muhammadnisma" dan pengikut-pengikutnya "Muhammadan". Perkataan ini asing bagi umat Islam dan mereka tidak mengiktirafnya. Tiada Muslim yang memanggil agamanya "Muhammadnisma" atau menggelar dirinya "Muhammadan".

Apakah konsep asas Islam?

Islam mengajar kita bahawa kehidupan ini adalah suatu ibadat. Kita diletakkan di bumi untuk beribadat kepada Allah dan mematuhi perintahNya. Ketika hidup di dunia, kita dihadapkan dengan satu siri ujian. Kita mempunyai pilihan untuk mengharungi ujian ini dengan mematuhi undang-undang tertentu, dan diberikan ganjaran pada kehidupan yang berikut, atau kita boleh memilih untuk tidak mengharungi ujian-ujian ini dan tidak mematuhi undang-undang tertentu, lalu menyesalinya pada kehidupan yang berikut. Setiap orang bertanggungjawab ke atas ganjarannya yang muktamad. Tuhan mengadakan undang-undang ini untuk menjadikan kehidupan kita lebih baik dan selamat. Jika kita memilih untuk mematuhinya, kita akan dapat melihat kesannya dalam kehidupan ini sebelum memulakan hidup dalam kehidupan yang berikut.

Kita dimaklumkan bahawa kehidupan di bumi adalah kehidupan berlandaskan iman dan amal, dan kehidupan yang berikut adalah kehidupan untuk menikmati ganjaran dan tiada amal. Kita telah diletakkan di bumi untuk menyembah Tuhan, berpuasa, bersembahyang, berusaha, berbuat baik, saling menghormati dan menjadi sumber kebenaran dan contoh akhlak yang baik. Kita dimaklumkan bahawa Tuhan tidak memerlukan ibadat kita. Ibadat kita tidak menambah kerajaan Tuhan, mahu pun meningkatkan kuasanya, tetapi ibadat kita adalah untuk kebaikan kita dalam kehidupan ini dan kehidupan berikutnya.

Tidak seperti beberapa agama yang mendakwa bahawa Tuhan membuat perjanjian dengan kumpulan manusia tertentu dan bahawa kumpulan ini lebih tinggi martabatnya, atau lebih dekat kepada Tuhan daripada manusia lain, Islam mengajar bahawa tiada warna kulit, bangsa, suku atau keturunan yang lebih baik daripada yang lain. Islam mengajar bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah dan satu-satunya perkara yang membezakan mereka di sisi Allah adalah ketakwaan dan ibadat seseorang.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."
Al-Qur'an, Al-Hujarat (49):13

Tahap-tahap Islam

Islam terdiri daripada tiga tahap, setiap tahap dibina daripada tahap yang lebih rendah. Tahap-tahap tersebut adalah:

  1. Islam
    1. Bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah.
    2. Mendirikan sembahyang setiap hari.
    3. Membayar zakat (sedekah yang wajib terhadap golongan miskin).
    4. Berpuasa pada bulan Ramadan.
    5. Menunaikan haji di Mekah sekali seumur hidup jika berkemampuan.
  2. Iman
    1. Percaya kepada Allah.
    2. Percaya kepada malaikat-malaikatNya.
    3. Percaya kepada kitab-kitabNya.
    4. Percaya kepada utusan-utusanNya.
    5. Percaya kepada hari pengadilan.
    6. Percaya kepada qada' dan qadar (takdir) sama ada baik atau buruk.
  3. Ihsan Menyembah Allah (Tuhan) seolah-olah anda melihatnya, kerana jika anda tidak melihatnya, dia pasti melihat anda.

Di dalam Sahih Muslim, Abdullah bin Umar bin Al-Khattab meriwayatkan:

"Bapaku, Umar bin Al-Khattab, memberitahuku, suatu hari ketika kami sedang duduk dengan Rasulullah (s.a.w.), muncul seorang lelaki yang memakai pakaian yang amat putih, rambutnya amat hitam. Tidak kelihatan tanda-tanda yang dia telah melalui perjalanan, dan tiada seorang pun di antara kami yang mengenalinya.

Lelaki ini melutut di hadapan Rasulullah (s.a.w.) dan meletakkan tapak tangannya di atas pahanya. Dia berkata: Muhammad, khabarkan kepadaku tentang Islam. Rasulullah (s.a.w.) berkata: Islam bermakna kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah, dan mendirikan sembahyang, membayar zakat, berpuasa dalam bulan Ramadan, dan menunaikan haji di Kaabah jika berkemampuan. Dia (penanya) berkata: Kamu telah berkata benar.

Dia (Umar bin Al-Khattab) berkata: Kami amat hairan melihat dia menanyakan soalan dan kemudian mengesahkannya. Dia (penanya) berkata: Khabarkan kepadaku tentang iman. Dia (Rasulullah) menjawab: Bahawa kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, nabi-nabiNya, hari pengadilan, dan qada dan qadar, sama ada baik atau buruk. Dia (penanya) berkata: Kamu telah berkata benar. Dia (penanya) berkata lagi: Khabarkan kepadaku tentang Ihsan (amalan baik). Dia (Rasulullah) berkata: Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya kerana kalaupun kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu. Dia (penanya) berkata lagi: Khabarkan kepadaku tentang hari pengadilan. Dia (Rasulullah) berkata: Orang yang ditanya tidak tahu lebih daripada yang bertanya (mengenainya). Dia (penanya) berkata: Khabarkan kepadaku tanda-tandanya. Dia (Rasulullah) berkata: Bahawa seorang abdi melahirkan tuannya, dan kamu akan dapati penggembala kambing yang berkaki ayam bersaing antara satu sama lain untuk membina bangunan-bangunan yang tinggi.

Dia (periwayat, iaitu Umar bin Al-Khattab) berkata: Kemudian dia (penanya) berlalu tetapi aku tinggal bersama utusan Allah buat beberapa lama. Nabi Muhammad kemudian berkata kepadaku: Umar, tahukah kau siapa yang bertanya tadi? Aku menjawab: Allah dan NabiNya lebih tahu. Dia (Rasulullah) menjawab: Dia adalah (malaikat) Jibril. Dia datang untuk mengajarmu hal agamamu."

Apakah rukun-rukun Islam?

Islam dibina di atas lima rukun utama. Seorang Muslim diajar bahawa sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan dia mematuhi kelima-lima rukun asas ini akan memasuki syurga. Rukun-rukun ini adalah:

  1. Bersaksi bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah (Tuhan) sahaja, dan bahawa Muhammad (s.a.w.) adalah utusanNya. Ini menetapkan kepatuhan hanya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

  2. Mendirikan sembahyang lima kali sehari menurut cara yang telah ditetapkan dalam waktu yang ditetapkan. Sembahyang ini mengingatkan kita supaya mengingati Tuhan setiap masa, sama ada sebelum atau selepas sembahyang.

  3. Membayar 2.5% zakat daripada hartanya setiap tahun jika hartanya melebihi kadar minima yang dianggap sebagai di atas paras kemiskinan (ini adalah konsep asas, pengiraan sebenarnya adalah lebih kompleks).

  4. Berpuasa dalam bulan Ramadan (menurut kalendar lunar Islam) daripada terbit matahari sehingga matahari terbenam. Berpuasa termasuk menahan diri daripada makan, minum dan hubungan suami isteri daripada terbit matahari sehingga matahari terbenam.

  5. Menunaikan haji di Mekah sekali seumur hidup jika mampu dan sihat tubuh badan. Dalam musim haji, umat Islam dari serata dunia bertemu selama enam hari untuk menunaikan ibadat yang telah ditetapkan. Semua lelaki Muslim diwajibkan memakai pakaian yang sama yang ringkas dan murah untuk didapati.

Mu'ad bin Jabal berkata: Aku berkata kepada Rasulullah (s.a.w.): Khabarkan kepadaku amal yang membolehkan aku masuk ke syurga dan menjauhkan aku dari api neraka. Beliau (Nabi) berkata:

"Kamu telah menanyakan perkara yang [kelihatannya amat] sukar tetapi mudah bagi mereka yang telah dimudahkan oleh Allah. Sembahlah Allah dan jangan menyekutukanNya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan tunaikan haji di Kaabah."
Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, dan ibn Majah

Nabi Muhammad (s.a.w.)

Umat Islam diajar bahawa nabi-nabi adalah manusia biasa yang dipilih oleh Tuhan untuk tugas yang khusus. Mereka dianugerahkan mukjizat untuk membantu mereka menyampaikan ajaran mereka, tetapi mukjizat-mukjizat ini tidak dilakukan dengan kuasa mereka sendiri, sebaliknya melalui kuasa Tuhan. Nabi-nabi Tuhan tiada kuasa istimewa sendiri, juga tidak berkuasa untuk menentukan siapa yang akan ke syurga atau ke neraka. Mereka hanya menyampaikan ajaran yang diamanahkan oleh Tuhan ke atas mereka dengan sedaya-upaya mereka.

Begitu juga, Muhammad (s.a.w.) dibantu oleh Tuhan dengan beberapa mukjizat dan diamanahkan untuk menyampaikan agamaNya kepada manusia. Bagaimanapun, Muhammad (s.a.w.) sendiri hanyalah manusia biasa. Beliau tidak boleh memberikan kebenaran untuk ke syurga. Beliau tidak boleh mengutuk seseorang dengan balasan neraka. Beliau tidak boleh merubah hati manusia. Beliau hanya menyampaikan ajaran dan berharap orang ramai akan menerimanya.

Muhammad (s.a.w.) hidup seperti mana-mana lelaki atau wanita lain di kalangan kaumnya. Beliau berpakaian seperti mana mereka berpakaian. Beliau makan makanan yang mereka makan. Beliau hidup seperti mana mereka hidup dan tinggal di dalam rumah seperti rumah mereka. Adalah mustahil bagi seseorang yang tidak mengenalinya untuk mengagak yang mana satu beliau di kalangan orang ramai.

Muhammad (s.a.w.) mengajar pengikut-pengikutnya melalui contoh teladan. Jika beliau mengarahkan pengikut-pengikutnya melakukan sesuatu, beliau adalah orang pertama yang melakukannya. Beliau tidak pernah mungkir kata-katanya, beliau adalah orang yang paling pemurah di kalangan kaumnya. Beliau amat takut kepada Tuhan dan paling sedikit terpikat dengan dunia. Beliau tidak pernah menerima sedekah, sebaliknya bekerja untuk mencari nafkah. Beliau tidak pernah berbohong. Bukan perkara luar biasa baginya menanggung kelaparan selama berbulan-bulan tanpa menjamah makanan yang dimasak. Beliau mengajar pengikut-pengikutnya supaya kasih kepada kanak-kanak dan menghormati orang tua. Beliau mengarahkan mereka supaya jangan menjamah arak, jangan berjudi, mengamalkan riba, berzina, bersifat hasad dengki atau memfitnah. Muhammad (s.a.w.) mengajar bahawa tiada sesiapa yang memerlukan orang lain untuk menjadi orang tengah di antaranya dan Tuhan. Beliau menunjukkan bahawa Tuhan sentiasa ada bagi semua makhlukNya. Dia mendengar dan melihat segala-galaNya dan memakbulkan doa hambaNya. Muhammad (s.a.w.) mengingatkan pengikut-pengikutnya supaya jangan sama sekali menaikkan martabat mana-mana makhluk Tuhan ke tahap yang tinggi yang menghampiri Tuhan, atau berlebih-lebihan dalam memuji mana-mana manusia, termasuklah nabi-nabi Tuhan sendiri. Beliau mengajar bahawa hamba Tuhan yang terbaik adalah mereka yang sentiasa mencari ilmu dan bahawa Tuhan melihat segala yang mereka lakukan.

Muhammad (s.a.w.) mengajar pengikut-pengikutnya supaya kuat berusaha dan mencari nafkah secara jujur. Beliau mengajar mereka bahawa Muslim yang terbaik bukannya mereka yang asyik dengan harta kekayaan kerana kekayaan yang banyak biasanya menyesatkan. Namun beliau juga mengajar bahawa seorang yang kaya-raya yang tidak tertipu oleh kekayaannya tidak dikutuk oleh Tuhan, malah dapat menggunakan hartanya sebagai ibadat yang mana ini tidak dapat dilakukan oleh golongan miskin. Dengan kata lain, Muhammad (s.a.w.) mengajar kesederhanaan dalam semua perkara.

Terdapat banyak yang boleh diperkatakan mengenai ajaran-ajaran Muhammad (s.a.w.), tetapi ringkasan umum yang dibuat oleh Muhammad (s.a.w.) dalam hal ini adalah:

"Ketakwaan adalah tingkah laku yang baik, dosa adalah apa yang tersirat di dalam dadamu dan kamu tidak suka jika ia didedahkan kepada orang ramai."

Tiada hiraki agama

Dalam Islam, tiada hiraki kepimpinan agama seperti yang disangka oleh penganut-penganut agama lain. Tiada Pope, Ketua Biskop, Biskop, dan sebagainya. Umat Islam menggelar seorang sarjana Islam sebagai 'Imam' (jangan keliru istilah ini dengan "Imam-imam' di Iran yang mendakwa diri mereka mempunyai kuasa luar biasa dan sifat-sifat ketuhanan). Dalam sesuatu kawasan, seorang Imam adalah seorang orang yang dirujuk mengenai hal-hal keagamaan. Sebagai contoh, jika seorang Muslim meninggal dunia dan anak-anaknya ingin membahagikan harta pusakanya, mereka berjumpa dengan Imam dan beliau akan menentukan pembahagian harta berdasarkan Qur'an dan Sunnah. Imam juga biasanya memberikan khutbah agama dan mengajar Qur'an dan Sunnah.

Imam dan ulama tiada kuasa luar biasa. Mereka tidak boleh mengampunkan dosa. Mereka tidak menerima 'ilham' suci. Mereka tidak boleh memberikan kebenaran ke syurga. Mereka tidak mengetahui perkara ghaib. Mereka tidak boleh mengubah undang-undang. Mereka adalah Muslim biasa yang dikenali disebabkan ilmu mereka.

Tiada kebiaraan

Islam memerintahkan umat Islam mematuhi perintah-perintah Allah. Ia menentukan ibadat-ibadat yang diterima. Ia menggalakkan umat Islam bekerja dan berusaha. Ia melarang 'kebiaraan' dan 'kerohanian' yang berlebihan, atau 'Zen' atau amalan-amalan seumpamanya. Seorang Muslim diperintahkan supaya tidak mengharamkan ke atas dirinya apa yang telah dihalalkan oleh Allah, dan tidak dibenarkan memperkenalkan ibadat-ibadat baru ke dalam agama. Ini bermakna bahawa seorang Muslim tidak boleh memutuskan bahawa walaupun Islam membenarkan perkahwinan, beliau mengharamkannya ke atas dirinya dan kekal membujang (beliau boleh memilih untuk tidak berkahwin, tetapi beliau tidak boleh mengharamkannya ke atas dirinya). Jika beliau mahu menambah ibadatnya, terdapat banyak cara beliau boleh melakukannya, seperti sembahyang malam, bersedekah, menahan diri daripada melakukan dosa dan lain-lain. Muhammad (s.a.w.) memberikan perumpamaan dua lelaki. Seorang lelaki hidup seperti rahib dan beribadat berlebih-lebihan serta mengasingkan dirinya daripada dunia. Seorang lagi pula bekerja mencari nafkah serta membayar untuk makanan dan minuman yang di makan oleh 'rahib' ini setiap hari. Muhammad (s.a.w.) memberitahu pengikut-pengikutnya bahawa lelaki yang bekerja dan menyara 'rahib' ini lebih besar ganjarannya di sisi Allah.

Undang-undang

Seperti Judaisma, Islam juga mempunyai set undang-undang dan rukun-rukun. Asas Islam adalah lima rukun yang telah dibincangkan sebelum ini. Sesiapa yang meninggal dunia dengan mematuhi lima rukun ini akan memasuki syurga. Sesiapa yang tidak mematuhinya akan memasuki neraka (terdapat pengecualian). Bagaimanapun, terdapat tahap di antara keduanya. Tahap-tahap ini ditentukan oleh undang-undang.

Islam mengajar bahawa seorang Mulsim diberi ganjaran berdasarkan amal baiknya, menahan diri daripada perbuatan jahat dan imannya. Dengan cara ini, manusia akan memasuki syurga di tahap yang berbeza, begitu juga neraka mempunyai tahap yang berbeza, setimpal dengan perbuatan dan amal masing-masing.

Kita belajar mengenai undang-undang Islam daripada Qur'an dan Sunnah. Qur'an adalah kitab suci Islam yang mengandungi firman Allah Yang Maha Berkuasa dan garis panduan kasar mengenai Islam. Sunnah adalah amalan-amalan nabi Muhammad (s.a.w.) yang merangkumi kata-kata dan amalannya. Biasanya sunnah memberikan gambaran yang lebih terperinci mengenai undang-undang yang terdapat di dalam Qur'an. Setiap satu daripada dua sumber ini mempunyai sains yang kompleks.

"... Dan Kami turunkan kepadamu Al-Qur'an agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka..."
Al-Qur'an, An-Nahl (16):44
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah: Rasulullah (s.a.w.) berkata:
"Allah berfirman: 'Aku akan mengisytiharkan perang terhadap sesiapa yang menunjukkan permusuhan terhadap mereka yang menyembahKu. Dan yang paling aku kasihi adalah hambaKu yang mendekatkan diri kepadaku dengan mematuhi perintahKu. HambaKu terus mendekatkan dirinya kepadaku dengan melakukan 'Nawafil' (sembahyang sunat) sehingga Aku mengasihinya. Maka aku menjadi telinga dengan mana dia mendengar, mata dengan mana dia melihat dan tangan dengan mana dia menyentuh, dan kaki dengan mana dia berjalan. Dan jika dia meminta sesuatu daripadaKu, Aku berikan kepadanya, dan jika dia meminta perlindunganku, Aku melindunginya."

Cara hidup

Islam berbeza daripada agama-agama lain kerana ia tidak menghadkan sesuatu tempat, perbuatan, dan amalan untuk ibadat. Islam mengajar pengikut-pengikutnya bahawa setiap aspek kehidupan mereka, daripada makan, minum, tidur dan segala apa yang dilakukan boleh dilakukan dalam salah satu daripada dua cara: yang disukai Tuhan, atau yang tidak disukai Tuhan.

Islam menyediakan cara hidup daripada aspek sosial, ekonomi dan politik. Setiap aspek kewujudan manusia ditentukan oleh undang-undang Islam. Seorang Muslim diperintahkan menghormati orang tua dan ibu bapanya. Beliau juga diperintahkan berbuat baik dan berbelas kasihan kepada mereka yang lebih muda dan lebih lemah daripada dirinya, serta kepada binatang. Seorang Muslim diperintahkan supaya tidak melibatkan diri dengan apa jua cara dengan riba, judi dan arak. Namun seorang Muslim tidak pasif dan lemah. Beliau diperintahkan supaya tidak membiarkan undang-undang Tuhan dicabuli atau membiarkan ketidakadilan dilakukan, beliau mesti menegakkan kebenaran dan berjuang untuk menegakkan undang-undang Tuhan, membela yang ditindas dan menegakkan keadilan dan kedamaian.

Undang-undang yang adil dan mempunyai belas kasihan

Seperti yang telah disebutkan, Islam terdiri daripada satu set undang-undang dan ibadat. Ada yang lebih tegas daripada yang lain. Sebagai contoh, tiada alasan untuk menyembah apa-apa selain daripada Alah. Tiada tolak ansur dalam hal ini. Sebaliknya, Islam juga direka supaya fleksibel dan lembut. Sebagai contoh, jika seorang Muslim sakit dan tidak boleh berpuasa dalam bulan Ramadan tanpa memudaratkan tubuhnya, maka beliau tidak diwajibkan berpuasa walaupun puasa adalah salah satu rukun Islam. Sebaliknya, beliau digalakkan supaya tidak berpuasa. Undang-undang boleh bertolak ansur dalam hal ini, dan dalam banyak hal-hal lain.

Umat Islam diajar bahawa setiap amalan baik digandakan oleh Allah Yang Maha Berkuasa sebanyak di antara sepuluh sehingga tujuh kali ganda (kadang-kala lebih lagi). Tetapi amalan jahat dikira sebagai satu amalan jahat, atau diampunkan oleh Allah. Seorang Muslim juga diajar bahawa selagi beliau hidup, masih ada harapan. Selagi beliau belum menghadapi maut, beliau boleh bertaubat daripada amalan-amalan jahatnya dan jika beliau ikhlas, Allah bersedia mengampunkan dosanya walaupun dosa-dosanya melebihi bilangan titisan air di laut.

Islam mengajar bahawa Tuhan mempertanggungjawapkan setiap orang atas NIAT mereka, dan tidak semestinya AMALAN mereka. Ini dinyatakan oleh nabi Muhammad (s.a.w.) dalam hadith berikut yang diriwayatkan olah Umar bin Al-Khattab dalam Sahih Bukhari:

"Nabi (s.a.w.) berkata: "Wahai umat! Ganjaran sesuatu amalan bergantung kepada niat, dan setiap orang diberikan ganjaran bergantung kepada niatnya. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan UtusanNya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan UtusanNya, dan sesiapa yang berhijrah kerana kepentingan dunia atau wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah untuk niat hijrahnya."

"Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik..."

Al-Qur'an, Fussilat (41):34

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa selain daripada itu, barang siapa yang dikehendakiNya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar."

Al-Qur'an, Al-Nisaa (4):48

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahanmu)."

Al-Qur'an, Al-Shurah (42):30

"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka - dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal."

Al-Qur'an, Al-'Imran (3):135-136

"Dia mengetahui mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati."

Al-Qur'an, Al-Mukmin (40):19

"Dan Dialah yang menerima taubat daripada hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan." Al-Qur'an, Al-Shura (42):11

"Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada setiap bulir, seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui."

Al-Qur'an, Al-Baqarah (2):261

"Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi). Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya, supaya jangan ada orang yang mengatakan: 'Amat besar penyesalanku atas kelalaianku terhadap Allah, sedang aku sesungguhnya termasuk orang-orang yang memperolok-olokkan (agama Allah), atau supaya jangan ada yang berkata: 'Kalau sekiranya Allah memberi petunjuk kepadaku tentulah aku termasuk orang-orang yang bertakwa'. Atau supaya jangan ada yang berkata ketika dia melihat azab, 'Kalau sekiranya aku dapat kembali (ke dunia), nescaya aku akan termasuk orang-orang yang berbuat baik'. Benar, sesungguhnya telah datang keterangan-keteranganKu kepadamu lalu kamu mendustakannya dan kamu menyombongkan diri dan adalah kamu termasuk orang-orang yang kafir."

Al-Qur'an, Al-Zumar (39):53-59

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah (s.a.w.) berkata:

"Setelah Tuhan menyempurnakan alam semesta, Dia menulis di dalam Kitab yang ada padaNya di singgahsanaNya: Sesungguhnya belas kasihanKu mengatasi kemurkaanKu."
Diriwayatkan oleh Sahih Al-Bukhari
Abu Hurairah meriwayatkan: aku mendengar Rasulullah (s.a.w.) berkata:
"Allah membahagikan rasa kasih sayangNya kepada seratus bahagian, dan Dia menyimpan sembilan puluh sembilan bahagian denganNya dan menurunkan satu bahagian ke bumi, dan dengan satu bahagian ini, makhluknya menunjukkan belas kasihan antara satu sama lain, sehinggakan seekor kuda mengangkat kakinya daripada bayinya, kerana bimbang terpijak bayinya."
Diriwayatkan oleh Sahih Al-Bukhari

Nama-nama Tuhan

Penganut-penganut Kristian telah diajar supaya merujuk kepada tuhan mereka dengan nama "Tuhan". Jika anda bertanya kepada salah seorang di antara mereka, "Apakah nama tuhan kamu?", maka jawapannya adalah "Tuhan!" (terdapat beberapa pengecualian). Mereka membangkang umat Islam menyembah "Allah" kerana mereka menyangka "Allah" adalah tuhan berhala. Ada juga akan mencerca "Allah" tanpa menyedari bahawa mereka mencerca "Tuhan".

Maka soalannya sekarang adalah, dari manakah datangnya nama "Tuhan"? Pernahkah Jesus (a.s.) menyebut "Tuhan"? Pernahkah Musa (a.s.) menyebut "Tuhan"? Tidak! Bangsa Yahudi dan Arab adalah suku Semit yang berasal daripada moyang yang sama, iaitu Ibrahim (a.s.). Bahasa mereka hampir serupa. Perjanjian Lama memaklumkan kita bahawa Musa (a.s.) merujuk kepada Tuhan sebagai "El" atau "Elohiym". Jesus (a.s.) juga merujuk kepada Tuhan menggunakan nama yang serupa. Jesus (a.s.) bertutur bahasa Aramaic, tetapi salinan-salinan purba Gospel yang ada hari ini kebanyakannya ditulis dalam bahasa Greek. Amat sedikit daripada ucapan Jesus yang terpelihara hingga ke hari ini. Bagaimanapun, daripada Markus 15:34 kita tahu yang Jesus (a.s.) merujuk kepada Tuhan sebagai "Eloi". "Eloi" adalah perkataan Aramaic yang bermakna "Tuhanku". Ia disebut {el-o-ee'}. Perkataan Arab untuknya adalah "Ilahi", disebut {el-ah-ee'}. Maka umat Islam menggunakan nama yang sama seperti yang digunakan oleh Jesus (a.s.). Perkataan manakah yang lebih hampir dengan nama yang digunakan oleh Jesus, "Tuhan" atau "Elahi"?

Begitu juga, di dalam Perjanjian Lama, kita dapati nabi-nabi merujuk kepada Tuhan dengan nama "Elohim". Dalam bahasa Hebrew, "Im" ditambah kepada sesuatu nama untuk memajmukkannya sebagai tanda penghormatan (seperti yang dilihat dalam Bab 14). Jika kita keluarkan konstruk ini untuk mendapatkan namanya sahaja, kita perolehi perkataan "Eloh". Sekali lagi, perkataan manakah yang lebih hampir kepada perkataan ini, "Tuhan" atau "Allah"?

Umat Islam diajar bahawa Allah Yang Maha Berkuasa mempunyai lebih daripada seratus nama, yang paling diketahui ramai adalah "Allah". Nama-nama ini ditemui di banyak tempat di dalam Qur'an. Ia merangkumkan sifat-sifat utama Allah Yang Maha Berkuasa, seperti "Yang Penyayang", "Yang Mengasihani", "Yang Besar", "Yang Tinggi" dan lain-lain. Nama-nama ini biasanya adalah kata sifat melainkan jika ia disandarkan kepada Allah yang mana dalam kes begini, ia dianggap sebagai kata nama. Sebagai contoh:

"Allah mempunyai nama-nama yang agung, maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-nama yang agung itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang daripada kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang mereka kerjakan."

Al-Qur'an, Al-A'raaf (7):180

"Katakanlah: "Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai nama yang baik..."

Al-Qur'an, Al-Israa' (17):110

"Tidak sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga, penghuni-penghuni syurga itulah orang-orang yang beruntung. Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Qur'an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir. Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, Yang Maha Suci. Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan. Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang mempunyai nama-nama yang paling baik. Bertasbih kepadaNya apa yang ada di langit dan di bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Al-Qur'an, Al-Hasyr (59):20-24
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ajaran Islam, sila baca:
  1. "Towards Understanding Islam", oleh Abul A`la Mawdudi
  2. "Concept of Islam", oleh Mahmoud Abu-Saud
  3. "Islam: Basic Principles and Characteristics", oleh Khurshid Ahmad.
  4. "Islam: An Overview", oleh Muhammad Ibrahim H.I. Surti.

Huda
Kemaskini terakhir: 8 Ogos, 2001


| Laman Utama | Wanita | Apa Kata Jesus | Injil & Kristian | Hindu | Sumber Asal | Pelbagai |

 

1