Kaedah terbaik berdakwah
Oleh DR MASHITAH IBRAHIM 08 September 2001 Soalan
Dalam keluarga, hanya saya seorang yang bersekolah agama. Justeru, pengetahuan agama saya boleh dikatakan lebih sedikit daripada ahli keluarga lain.
Bagaimanapun, saya tidak tahu bagaimana mahu berdakwah dengan ahli keluarga sendiri. Apakah kaedah terbaik untuk saya berdakwah kepada mereka tanpa menyinggung perasaan ahli keluarga?
Kiriman: Nur, Kota Kinabalu, Sabah.
Jawapan
SIFAT orang berilmu yang dipuji Allah ialah semakin berilmu semakin tawaduk. Kesan ilmu yang sebenar ialah menjadikan kita semakin hampir dengan Allah dan hampir dengan manusia lain.
Bukanlah dikatakan berilmu jika semakin berilmu semakin dirasakan susah hendak bercampur dengan orang lain. Bergaullah dengan saudara-mara seperti biasa.
Jika anda menjauhkan diri daripada mereka, sudah tentunya fitnah akan terjadi pada orang beragama seperti anda di mana dilemparkan kata-kata yang ilmu agama adalah penyebab berjauhan saudara-mara seperti tohmahan orang jahiliah dulu.
Cara berdakwah pula sangat banyak. Adakalanya dengan menunjukkan sifat yang baik serta akhlak murni, orang boleh terpikat untuk meniru walaupun kita tidak bercakap sepatah pun.
Menegur terutamanya pada keluarga mestilah dengan kebijaksanaan yang tinggi takut kalau-kalau meninggalkan kesan yang pedih. Oleh itu, hindarkan daripada menegur secara terang, jika terpaksa panggillah untuk bercakap secara peribadi supaya tidak tersinggung. Hulurkan bantuan kepada mereka bila diperlukan serta doakan untuk mereka. Insya-Allah, Allah bukakan hati mereka.
Dato Dr. Masitah |