SAYA pernah membaca satu sirah Rasulullah iaitu pada satu pagi Baginda berasa lapar dan memaklumkan kepada Siti Khadijah.
Siti Khadijah berkata tiada makanan walaupun sebiji kurma. Lalu Baginda mengajak Siti Khadijah berpuasa walaupun tanpa niat puasa dan ketika itu sudah terbit matahari.
Bagaimana Rasulullah dan Siti Khadijah boleh berpuasa tanpa niat selepas terbit fajar?
Adakah ia dikira puasa sunat dan adakah boleh kita melakukannya (walaupun bukan pada Isnin atau Khamis).
ROS, Melaka.
JAWAPAN HADIS sebenarnya berlaku pada Aisyah ra; di mana satu hari baginda bangun dan bertanya adakah ada makanan untuk pagi tersebut. Bila dijawab tiada
Baginda terus berniat berpuasa. Perlu diketahui ada beza antara puasa wajib dan puasa sunat.
Jika puasa wajib seperti puasa Ramadan atau nazar dan sebagainya mestilah berniat sebelum fajar seperti sabda Baginda: “Barang siapa tidak berniat untuk puasa sebelum terbit fajar maka tiada puasa baginya”. Jika puasa sunat (tidak kira hari apa) maka sah puasa jika berniat sebelum tengahari dan belum makan apa-apa seperti mana sahabat mengikut Nabi berpuasa asyura bila mendengar pada siangnya yang Nabi berpuasa mereka terus berniat berpuasa walaupun sudah siang hari.