Jauhi makanan tidak halal
Dr Mashitah menjawab 01 September 2001
Soalan
SAYA diberitahu oleh seorang rakan bahawa kedai kek di tempat kediaman kami menjual kek dicampur dengan bahan tidak halal. Suatu hari, kakak saya membeli kek itu dan menyuruh saya memakannya sedangkan saya tahu isi kandungan kek itu.
Apakah hukumnya jika saya makan kek itu walaupun tahu isi kandungannya yang tidak halal, sekadar untuk menjaga hati kakak saya? Apakah yang harus saya lakukan jika sudah termakan kek itu?
Kiriman: Azizah, Felda Pengeli Timur, Kulai Johor.
Jawapan
MEMAKAN suatu yang tidak halal kerana bercampur dengan benda haram seperti kek yang bercampur arak contohnya dikira berdosa.
Apatah lagi dalam hal ini saudari sudah maklum berkenaan hal terbabit tetapi masih memakannya, sudah tentu perbuatan itu berdosa.
Jika makan kerana tidak tahu, hukumnya lebih ringan tetapi selepas tahu ia menjadi berdosa iaitu lebih berat di sisi Allah.
Lain kali beringatlah bahawa menjaga Allah adalah lebih utama pada orang Islam daripada menjaga hati manusia. Apa yang dapat saudari lakukan sekarang ialah meminta ampun kepada Allah dengan beristighfar dan bertaubat. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Penyayang.
Dato Dr. Masitah |