Kencing ganggu solat
19 January 2002
Soalan
BAGAIMANAKAH kalau baju saya terkena
percikan air kencing kanak-kanak berumur lima tahun ke atas. Masalahnya
ialah saya tidak sempat menukar baju itu atau bersihkannya.
Lepas itu saya duduk di sofa, kerusi
meja makan, tilam dan tempat-tempat lain (katakanlah 'tempat A'). Adakah
tempat A dikatakan najis?
Apabila masuk waktu sembahyang saya
tukar baju berkenaan. Tetapi sewaktu saya sedang sembahyang fikiran saya
terganggu adakah solat saya sah atau tidak kerana baju yang ditukar tadi
terkena (terduduk) di sofa tempat A yang saya katakan najis sebelum ini?
Saya tukar baju sekali lagi dan
kali ini saya cuba elakkan daripada terkena atau terduduk di tempat A.
Kiriman:
Nani Martini
Ampang, Selangor
Jawapan
AIR kencing termasuk perkara najis
yang mesti dibersihkan, baju yang terkena air kencing mestilah dibasuh
sehingga bersih, iaitu tiada bau dan warnanya lagi.
Begitu juga dilihat pada sofa atau
mana-mana tempat yang dijejaki selepas baju itu terkena air kencing.
Jika ada bau kencing atau warna serta
rasa basah pada mana-mana perabot maka dikira terkena najis dan perlu dibasuhkan.
Jika tiada tanda tadi, anggaplah
ia tidak najis dan bersih kerana sukar dikesan.
Sembahyang kali ketiga selepas ditukar
baju yang tidak lagi duduk di bekas kencing adalah dikira sah jika wuduk
masih ada.
Wuduk tidak batal dengan terkena
najis. Apabila dibersihkan dari najis sembahyanglah seperti biasa.
Balik
|