Suami larang makan ubat perancang
05 January 2002
Soalan
SUAMI saya tidak membenarkan saya
menggunakan ubat perancang kehamilan, manakala saya pula bakal melahirkan
anak ketiga tidak lama lagi.
Saya merasakan perlu untuk merancang
kerana membantu suami berniaga bagi mencari rezeki untuk keluarga. Saya
ingin nasihat ustazah mengenai cara merancang kehamilan sedangkan suami
melarang saya makan ubat perancang.
Saya juga ingin tahu, apakah hukumnya
di dalam Islam jika seseorang itu menggunakan ubat perancang kehamilan?
Kiriman: Suhaila,
Kuala Lumpur.
Jawapan
MERANCANG kehamilan dalam erti kata
mengelakkan kehamilan untuk waktu tertentu kerana sebab diharuskan Islam
seperti mencari rezeki atau kesihatan dibolehkan.
Kaedah yang harus untuk merancang
pula ada pelbagai seperti pil atau memakai alat tertentu. Bagaimanapun,
merancang kehamilan mestilah melalui persetujuan kedua-dua pihak, iaitu
suami dan isteri. Ini bertujuan mengelakkan mana-mana pihak merasa tidak
puas hati seperti isteri mengadu sakit-sakit kerana makan perancang atau
suami merasa tidak puas kerana adanya alat tertentu.
Para sahabat dulu juga mengamalkannya
melalui kaedah azal atau kiraan. Kaedah azal ialah mengeluarkan air mani
di luar rahim isteri semasa bersama dan kiraan pula ialah dengan mengira
waktu subur atau tidak, iaitu hanya bersama ketika tidak subur.
Apa kaedah sekalipun yang digunakan
sekiranya masih juga hamil, redalah dengan pemberian Allah dan janganlah
mengambil keputusan membuangnya.
Balik
|