Berjanji tidak ulangi perbuatan terkutuk
Dr Mashitah menjawab 01 September 2001
Soalan
SAYA melakukan kesalahan yang sangat terkutuk iaitu terlanjur bersama seorang lelaki berkali-kali.
Kini saya ingin kembali ke jalan yang benar dan menghentikan perbuatan berkenaan tetapi saya ingin panduan serta nasihat daripada ustazah cara sebaiknya supaya saya terus menginsafi perbuatan lampau saya itu.
Kiriman: Girl, Cheras Baru, Kuala Lumpur
Jawapan
DALAM sebuah hadis Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maknanya: “Tidak ada satu dosa yang lebih besar selepas syirik daripada dosa seorang lelaki meletakkan air mani ke dalam rahim yang tidak halal baginya (berzina).”
Ini bererti dosa berzina sangat berat bahkan membuka kepada pintu-pintu maksiat yang lain. Cara untuk kembali, pertamanya mestilah keinsafan dan kesedaran serta rasa kesal itu lahir dari hati sendiri.
Selepas benar rasa menyesal, nyatakan rasa kesalnya kepada Allah dengan cara mendirikan dua rakaat solat taubat. Bila memberi salam, angkatlah tangan yang penuh noda itu memohon ampun kepada Allah dan tangisilah kepada Allah segala dosa yang lama.
Selepas itu berjanjilah pada Allah dan diri untuk tidak lagi mengulangi perbuatan berkenaan. Setelah itu mulakan hidup baru dengan dipenuhi segala amalan baik
Dato Dr. Masitah |