Pikat isteri guna ubat pengasih
Dr Mashitah jawab
29 December 2001
Soalan
SAYA sudah berkahwin dengan
gadis pilihan saya dan hubungan kami sangat baik sekali. Hasil perkahwinan
kami lebih kurang tiga tahun itu, kami dikurniakan dua orang anak.
Masalahnya, saya menggunakan
ubat guna-guna (ilmu pengasih) semasa memikatnya sebelum kami berkahwin.
Kini saya rasa begitu bersalah atas perbuatan itu.
Adakah saya harus berterus-terang
dengan isteri saya mengenai perkara ini?
Apakah nasihat ustazah
untuk saya menangani masalah ini?
Kiriman: Azman,
Kuala Terengganu,
Terengganu.
Jawapan
MENGGUNAKAN ilmu sihir
atau ubat guna-guna untuk mengenakan seseorang memang dilarang di dalam
Islam dan perbuatan berkenaan adalah berdosa.
Memandangkan perkara itu
sudah berlalu dan hidup saudara pun berada dalam harmoni seperti yang digambarkan
iaitu “baik sekali”, nasihat saya ialah saudara janganlah mengeruhkan keadaan
yang ada. Apa yang sepatutnya saudara lakukan sekarang ialah bertaubat
dan memohon ampun kepada Allah supaya dosa yang lalu diampunkan Tuhan kerana
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya “barangsiapa yang mendatangi
ahli sihir sesungguhnya dia telah kufur”.
Jagalah isteri yang baik
itu sesempurna yang mungkin, tebuslah kesalahan saudara kepadanya dengan
memperlakukan dia dengan baik dan membahagiakannya.
Balik
|