Ibu desak cerai isteri kedua Oleh Dr Mashitah Ibrahim 10 November 2001
Soalan
SAYA bernikah sebagai isteri kedua tetapi perkahwinan itu dirahsiakan daripada isteri pertama. Ini kerana, isteri pertama memberi amaran jika perkahwinan dilangsungkan, dia mahu meminta cerai.
Suami saya memberitahu ibu bapanya dengan harapan memujuk isteri pertama tetapi harapan musnah dan hubungan kami tetap tidak direstui sebaliknya mereka menyuruh kami bercerai sebelum diketahui isteri pertama serta saudara mara.
Ibu mentua saya memberi amaran bahawa perempuan yang sudah berkahwin harus mengikut kata suami manakala lelaki pula harus mengikut kata ibunya.
Tindakan kami itu dikira menderhaka dan kesusahan akan menimpa kami kemudian hari.
Bimbang perkara itu berlaku, suami saya berasa serba-salah. Persoalannya, apakah kata-kata ibunya itu benar menurut pandangan Islam? Apkah kami harus bercerai kerana ibunya?
Persoalan kedua, apakah pandangan agama mengenai wanita yang meminta cerai daripada suami sekiranya suami tetap mahu mengahwini isteri yang baru?
Kiriman: NZK, Kuantan, Pahang.
Jawapan
KATA-kata ibu adalah doa asalkan tidak membawa kepada perkara yang berdosa.
Sekiranya ibu meminta suami menceraikan isteri kerana keaiban wanita itu, suami sewajarnya taat sebaliknya jika tanpa sebab yang munasabah bahkan boleh memudaratkan maka sebagai seorang suami dia mesti mempunyai pendirian yang wajar.
Apapun, dalam hal ini suami sebenarnya perlu membuat keputusan kerana talak berada di dalam tangannya. Sementara itu, berdoalah supaya Allah melembutkan hati ibunya.
Seorang wanita berdosa besar jika meminta cerai daripada suami tanpa sebab sedangkan suaminya itu baik.
Dalam hal ini, jika isteri pertama merasakan dia tidak dapat lagi melakukan kebaikan pada suami setelah berlaku peristiwa ini, dia mempunyai hak untuk meminta cerai.
Cerai adalah halal walaupun ia dimurkai tetapi menyakiti suami pula adalah berdosa besar. Sudah tentu lebih baik memilih jalan yang pertama itu.
Balik |