Isteri terlanjur bersikap dingin
Dr Mashitah jawab 18 August 2001
Soalan :
SEWAKTU remaja, saya mempunyai teman lelaki dan pernah terlanjur bersamanya tetapi kemudiannya kami berpisah.
Apabila berusia 22 tahun, saya dikahwinkan dengan pemuda pilihan keluarga. Kehidupan kami tidak bahagia kerana saya tidak mahu melayannya sebagai seorang suami.
Saya sering mengelak untuk bersamanya walaupun saya dalam keadaan bersih dan sihat kerana saya tidak berkeinginan melakukannya. Adakah saya dikatakan berdosa? Suami masih bersabar dan sayangkan saya tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu mengatasi masalah ini.
Kiriman: Hamba Allah,
Johor Bahru, Johor.
Jawapan :
PUAN sudah pernah terlanjur melakukan satu daripada dosa besar iaitu berzina. Dosa zina sangat besar di sisi Allah dan puan sewajarnya kembali bertaubat memohon ampun daripada Allah.
Alhamdulillah sekarang sudah pula bertemu jodoh dengan orang yang mengasihi puan. Janganlah menambahkan lagi dosa lama dengan menjadi isteri yang ingkar dan nusyuz.
Seorang isteri yang tidak mahu dirinya disetubuhi suami tanpa sebab munasabah hanya kerana dia tidak cintakan suami adalah berdosa. Sementara suami puan masih boleh bersabar dan rahsia puan masih terjaga dengan baik, layanlah suami yang halal di sisi Allah dengan baik.
Besar kemungkinan puan tidak mahu melayaninya serta hilang keinginan kerana dia adalah pilihan keluarga dan bukan pilihan puan sendiri tetapi jodoh puan sudah bersamanya, dapat pula orang yang baik redalah dan jalanilah sisa hidup ini dengan menjadi isteri yang solehah. Sesungguhnya keredaan Allah adalah pada keredaan suami.
Dato Dr. Masitah |