Makanan persembahan tidak halal Dr Mashitah menjawab 03 November 2001
Soalan
SAYA bekerja di syarikat milik orang bukan Islam. Apabila tiba perayaan hantu, majikan dan rakan sekerja berbangsa Cina akan merayakannya dengan menyembahyangkan buah-buahan serta atur cara lain.
Adakah halal makanan atau buah-buahan yang disembahyangkan mereka itu sedangkan makanan terbabit tidak terkena sebarang najis berat atau ringan?
Masalah kedua, rakan sekerja berbangsa Cina itu sering membeli makanan daripada restoran Cina. Saya yakin bahawa makanan itu tidak mengandungi bahan yang haram tetapi adakah ia halal dimakan kerana dibeli di restoran terbabit?
Kiriman: Gadis Musykil, Johor Bahru, Johor.
Jawapan
HALAL dan haram dalam makanan ada disebut dalam surah al-Maidah. Antara perkara yang haram dimakan oleh orang Islam yang disebut termasuklah hadiah korban dan persembahan untuk berhala.
Dalam hal ini buah-buahan berkenaan walaupun halal zatnya dan bersih daripada najis tetapi termasuk persembahan bagi berhala yang mana dilakukan ketika upacara sembahyang mereka. Oleh itu, janganlah memakan persembahan berkenaan.
Jika yakin makanan itu tidak mengandungi bahan haram maka halal untuk memakannya bagaimanapun, orang yang mahu mengelakkan daripada syubahat tidak akan makan kerana walaupun yakin tiada haram bagaimana pula dengan bekas yang digunakan untuk memasak makanan lain yang haram?
Sekiranya digunakan perkakas yang sama sudah tentu tidak halal.
Oleh itu jika kita seorang muslim yang mahu menjaga dengan baik perintah Allah, elakkkan daripada perkara yang syubahat juga.
Balik |