Keluar mazi ketika solat Dr Mashitah menjawab
20 October 2001 Soalan
SAYA seorang lelaki berusia lingkungan lewat 20-an. Secara ikhlas, saya mula mengerjakan solat beberapa bulan lalu. Masalahnya, setiap kali hendak bersolat, saya sering terasa keluar air mazi hingga kadangkala saya mengambil masa agak lama untuk mengeringkannya sebelum mengambil wuduk.
Malah di pertengahan solat, saya sedar ia keluar lagi hingga bila saya bosan, saya teruskan saja solat walaupun menyedari keluarnya air mazi itu. Bagaimanakah kedudukan solat saya itu? Apakah yang harus saya lakukan untuk menangani masalah ini?
Kiriman: Ingin Tahu, Kuala Lumpur.
Jawapan
MAZI ialah sejenis cecair yang keluar dari kemaluan sebagai pelincir. Mazi adalah najis yang perlu dibersihkan jika hendak bersolat tetapi tidak perlu mandi hadas besar.
Memang ada di kalangan mereka yang berpenyakit mengeluarkan mazi sepanjang waktu. Bagi mereka yang mengalami keadaan ini, apa yang perlu dilakukan ialah sebelum solat, bersihkan terlebih dahulu kemudian tampallah bahagian itu dengan memakai seluar dalam atau 'panty liner'.
Sebarang cecair yang keluar ketika solat setelah kita mengambil langkah berjaga-jaga secara sedar atau tidak tidak membatalkan kerana dikira penyakit. Jangan sekali-kali bersolat dengan keadaan tidak memakai seluar dalam kerana sekiranya cecair itu meleleh ketika solat maka dikira batallah solat.
DATO DR MASITAH |