Bakar colok hormat ibu bapa Dr Mashitah menjawab
20 October 2001 Soalan
KEMUSYKILAN saya berkaitan beberapa masalah mengenai saudara baru. Adakah saudara baru dibolehkan membakar colok untuk diletakkan di hadapan gambar ibu bapa pada hari kematiannya atau semasa menziarahi keluarga tanpa sebarang niat?
Seterusnya, bagaimana pula kedudukan saudara baru itu jika dia memakai baju upacara pengkebumian dan turut serta mengiringi rombongan ke kubur?
Apa pula hukumnya jika dia menyertai upacara sembahyang di kubur? Adakah hukumnya sama jika dia hanya melihat dan mendengar dengan duduk agak berjauhan daripada upacara itu?
Kiriman: May, Ipoh, Perak.
Jawapan
SEORANG saudara baru yang baru memeluk Islam boleh berhubung dengan saudara-maranya dan kedua ibu bapanya. Dia boleh menziarahi mereka, menjamu mereka makan atau makan dengan mereka makanan yang halal tetapi melakukan upacara keagamaan yang berkaitan dengan akidah Islam bahkan menyalahi daripada tuntutan Islam adalah dilarang.
Sekiranya setelah memeluk Islam dia masih melakukan adat lama dan upacara keagamaan lama maka apakah ertinya Islam itu?
Bukankah orang Islam ada beza daripada orang bukan Islam maka dia mesti membezakan dirinya dengan saudara yang bukan Islam.
Dia boleh menziarahi, memberi penghormatan terakhir kepada ibu bapa yang mati tetapi tidak boleh turut serta membakar colok kerana itu ada kaitan dengan upacara agama membabitkan kepercayaan mengenai roh kematian.
Sebaiknya, elakkan daripada memakai baju upacara agama dan janganlah menyertai upacara sembahyang mengikut agama lama kerana itu menyalahi agama Islam.
Jika menghantar ke kubur, melihat dan mendengar dari jauh bagai tanda menghormati tidaklah dilarang.
DATO DR MASITAH |