Setiap hari qada solat Zuhur
Dr Mashitah jawab 06 October 2001
Soalan
SAYA berusia lingkungan 20-an dan bekerja di sebuah syarikat bukan milik orang Islam. Di tempat kerja tidak disediakan tempat untuk bersolat dan untuk ke surau pula, agak sukar kerana pembinaan jambatan sedang dibina yang menghalang laluan untuk ke surau berhampiran.
Oleh itu, setiap hari saya mengqada solat Zuhur selepas saya solat Asar.
Adakah tindakan saya itu dibenarkan dan apakah yang sewajarnya saya lakukan?
Kiriman: Remaja Was-was, Kuala Terengganu, Terengganu.
Jawapan
TINDAKAN qada solat atas alasan tempat bekerja milik orang bukan Islam atau surau yang jauh adalah sesuatu yang tidak wajar.
Perlu diingatkan di sini untuk bersolat tidak semestinya seseorang itu berada dalam surau atau tempat khas untuk bersolat.
Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersolat di atas unta. Ertinya di sini yang diperlukan cuma kesungguhan dalam diri dan ruang kecil sekadar mampu untuk melakukan sujud.
Bilik pejabat sendiri juga boleh dihampar dengan kain bersih dan kemudian bersolat.
Jika tiada bilik sendiri, ruang apa saja sekalipun atau pergilah ke sudut pejabat yang bersih, menghadap kiblat dan kemudian bersolat.
Apa yang penting ialah bagaimana kita melihat kedudukan solat itu sendiri, adakah ia sesuatu yang penting? Ingatlah bahawa kita mencari rezeki daripada Allah maka janganlah diabaikan perintah-Nya.
Dato Dr. Masitah |