Bantu majikan tipu timbangan
29 September 2001 Soalan
SAYA bekerja di sebuah kilang yang memang saya ketahui mencuri timbangan, misalnya barangan yang sepatutnya dijual pada pelanggan dengan harga RM5 sekilo dengan bahan mentah berkualiti X, dijual dengan mengurangkan timbangan serta dicampurkan bahan mentah yang kurang kualitinya.
Penipuan itu disahkan sendiri oleh ketua saya menyebabkan hati saya tidak tenteram bekerja di situ. Saya terfikir untuk berhenti kerja tetapi keadaan ekonomi belum pulih tidak mengizinkan saya berbuat demikian.
Masalahnya, adakah saya ini dikira bersubahat dengan mereka? Bagaimana pula dengan wang gaji yang saya terima, adakah ia tidak halal digunakan?
Kiriman: Ingin Tahu,
Johor Bahru.
Jawapan
MENIPU dengan mengurangkan timbangan atau mencampurkan bahan yang tidak berkualiti sudah jelas dengan dalil al- Quran bahawa perbuatan itu adalah menipu dan berdosa.
Apabila seseorang mengenai mengenai hal kemungkaran atau melihatnya maka dia wajib mengubah atau menegur mengikut taraf kemampuan yang ada pada dirinya.
Dalam hal ini sekurang-kurangnya saudara sudah pun malaksanakan tingkatan iman yang minimum iaitu menolak dengan hati dan ada timbul di hati rasa tidak tenteram namun kerana kuasa yang tidak memihak kepada saudara tidak banyak yang dapat dilakukan.
Insya-Allah gaji yang diterima adalah halal dan saudara tidak dikira bersubahat kerana saudara tidak bersetuju dengan segala perbuatan mereka cuma bezanya saudara tidak ada kuasa untuk mengubah keadaan itu.
Dato Dr. Masitah |