Terkena bekas laluan babi
15 September 2001
Soalan
SUAMI saya ada membeli akar kayu daripada orang Asli yang bukan beragama Islam dan orang Asli itu dikatakan memburu babi serta memelihara anjing di rumahnya.
Masalahnya, adakah akar kayu yang dijadikan ubat itu perlu disamak terlebih dulu sebelum direbus dan diminum untuk dibuat ubat?
Setelah memegang akar kayu itu, saya turut menyentuh peralatan di rumah seperti pakaian, peralatan dapur dan sebagainya, adakah barang terbabit perlu juga disamak?
Masalah kedua, adakah kita perlu menyamak anggota tubuh kita yang terkena bekas tempat di mana pernah dilalui babi misalnya tanaman seperti ubi kayu dan jagung yang pernah disondol oleh haiwan itu?
Kiriman: Insan Ingin Tahu, Terengganu Darul Iman.
Jawapan
MEMBELI barang halal daripada orang bukan Islam tidak menjadi masalah. Rasulullah s.a.w. sendiri berurusan perniagaan dengan orang Yahudi.
Sekiranya anda nampak dengan jelas ketika membeli akar berkenaan anjingnya diusap kemudian dia memegang akar atau anjing menjilat bahan terbabit maka wajib barang itu disamak.
Jika tidak nampak secara berterusan anggaplah ia bersih. Babi atau anjing jika lalu pada tanaman atau jalan misalnya, ia tidak perlu disamak. Namun, jika ia masuk ke rumah maka perlu disamak.
Bagaimanapun bagi orang yang tidak mahu ada syubahat akan mengelakkan langsung daripada membelinya.
Dato Dr. masitah |