Gadis ternoda enggan kahwin
15 September 2001 Soalan
SAYA kini berusia 22 tahun dan kehilangan dara sejak usia saya sembilan tahun lagi akibat perbuatan bapa tiri yang kini sudah meninggal dunia.
Semakin meningkat dewasa, saya sangat takut menghadapi masa depan. Adakah berdosa sekiranya saya menanam azam pada diri saya untuk tidak mahu berumah tangga?
Jika ditakdirkan saya bertemu jodoh pula, haruskah saya berterus-terang pada bakal suami saya?
Kiriman: Gadis Trauma,
Johor Bahru, Johor.
Jawapan
PERKAHWINAN adalah sunnah nabi dan merupakan ibadah. Mereka yang menolak sunnah nabi, baginda tidak mengaku daripada umatnya.
Oleh itu, menanam azam tidak mahu berkahwin adalah bercanggah dengan sunnah. Tidak semua lelaki berperwatakan seperti bapa tiri saudari bahkan ramai lagi yang baik-baik.
Pengalaman yang lalu tidak harus dijadikan sebagai satu kenangan yang menyekat kita daripada meneruskan tuntutan Tuhan.
Anggaplah ini sebagai satu pengajaran untuk saudari, andai bertemu jodoh dengan orang baik teruskan hidup bersamanya, usahlah menjadikan pengalaman itu sebagai halangan, kuburkanlah kenangan terbabit kerana ketika itu saudari dianiayai dan bukan dengan kehendak sendiri. Biarlah itu menjadi rahsia saudari dengan Tuhan.
Dato Dr. Masitah |