Bapa boleh hadiri nikah berwakil wali
08 September 2001 Di harap dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini.
Soalan
ADA di kalangan umat Islam berpendapat kononnya apabila seorang bapa mewakilkan pernikahan anaknya kepada wali hakim, bapa itu dikatakan tidak boleh menghadiri majlis akad nikah itu walaupun ia diadakan di rumahnya sendiri? Kiriman: Sulwani Qabsah,
Jalang Enggang, Kuala Lumpur.
Jawapan
MENGIKUT pendapat ulama, menjadi wali adalah mengikut kepada tertibnya iaitu bapa atau mereka yang di sebelah bapa seperti datuk.
Kemudian harus menjadi wali bagi saudara lelaki atau bapa saudara. Sekiranya mereka tidak dapat menjadi wali kerana tidak cukup syarat contohnya maka harus bagi mereka mewakilkan kepada wali sultan atau kadi.
Syarat yang membolehkan bapa menjadi wali ialah keahlian (baligh, berakal, merdeka, tidak terlalu tua hingga nyanyuk), lelaki tulen, sama agamanya antara anak dan bapa, serta adil (istiqamah dalam agama melakukan tuntutan agama dan tidak melakukan dosa besar).
Jika tidak cukup syarat dia boleh mewakilkan kepada yang lain dan tidak salah untuk dia bersama berada dalam majlis terbabit.
Dato Dr. Masitah |