Hukum cabut bulu kening
Dr Mashitah menjawab 18 August 2001
Soalan :
SAYA berusia lingkungan 20-an dan ingin kepastian mengenai kening yang dicabut. Jika bulu kening itu tebal dan dicabut sedikit saja di bahagian bawahnya untuk membentuk dan mencantikkan kening, adakah perbuatan itu juga haram dilakukan?
Bagaimana pula dengan perbuatan melebatkan bulu kening atas sebab tertentu tetapi bukan berniat menunjuk-nunjuk?
Kiriman: Inginkan kepastian,
Kota Tinggi, Johor.
Jawapan :
ALLAH itu cantik dan suka pada yang cantik. Bagaimanapun, di dalam Islam untuk kelihatan cantik ada tatatertibnya.
Mencabut semua bulu kening dan kemudian membentuknya semula adalah berdosa kerana dikira mengubah kejadian Alah. Bagaimanapun sekadar memperbetulkan dengan mencabut mana-mana bulu yang tumbuh bukan pada tempat yang sepatutnya seperti bulu yang tumbuh antara dua kening hingga seakan-akan bercantum supaya lebih kemas dan rapi, ia tidak berdosa.
Begitu juga dengan meminyakkan bulu kening supaya lebat dan hitam bagi bulu kening yang begitu jarang dan tipis, ia tidak haram dilakukan. Bagaimanapun bagi seorang isteri, dia perlulah mendapatkan izin daripada suami terlebih dulu untuk berbuat demikian
Dato Dr. mAsitah |